Friday, May 28, 2010

SELAMAT BERCUTI

Hari ini cuti umum hari Wesak.  Jadi cuti hujung minggu ni menjadi panjang la kiranya.  Anak-anak dah bising ajak pergi bercuti la pulak.

Selepas solat Jumaat nanti, Abahnya berjanji nak bawa pergi bercuti ke Melaka.  Katanya nak melihat taman rimba yang baru siap untuk kunjungan orang ramai tu.  Kiranya nak pergi tengok hutan la!

Saya ingat nak buat rendang daging untuk dibawa.  Lapar ditengah malam nanti, bolehlah di makan dengan roti.

Monday, May 24, 2010

BISKUT KEJU HATI

Semalam saya buat biskut ni agak akhir juga.  Selepas tu ada tamu pula datang ke rumah.  Jadi hari inilah saya berkongsi resipi tu.

Biskut Keju Hati

Bahan-bahannya:

120 gm mentega
60   gm keju berkerim
180 gm tepung gandum
60   gm tepung kastard
60   gm tepung jagung
200 gm gula ising
2 biji putih telur grade B
1 sudu kecil esen vanilla
sedikit bancuhan coklat pekat jika suka

Cara-caranya:
  1. Pukul mentega dan keju dengan 50 gm gula ising hingga sebati kembang.
  2. Ayak tepung gandum, tepung kastard dan 45 gm tepung jagung 2 kali.
  3. Masukkan 1/2 sudu esen vanilla ke dalam adunan dan keju.  Kacau sebati.
  4. Buat lubang di tepung, letakkan adunan mentega dan keju.
  5. Bawakan tepung ke tengah sedikit demi sedikit untuk di sebatikan dengan adunan mentega dan keju.
  6. Golekan doh beberapa kali.  Canai dan terap dengan acuan hati atau lain-lain mengikut kesukaan (kena tukar nama le!).  Atur di dulang pembakar.
  7. Campurkan semua bahan-bahan yang masih tinggal dan pukul dengan kelajuan tinggi  hingga sebati pekat.
  8. Ratakan di atas kepingan biskut yang diterap tadi.  Jika suka ukir bentuk bunga di tengah lapisan atas itu dengan bancuhan coklat pekat.
  9. Bakar hingga masak.
Mudah saja kan.  Biskut ini boleh tahan sebulan lebih jika disimpan dengan baik dalam bekas yang kedap udara.

Sunday, May 23, 2010

FIKIR NAK MASAK APA!

Kekadang kepala ni pening juga memikirkan nak masak apa untuk sajian keluarga.  Semalam tu main order pizza yang hantar ke rumah.  Anak-anak lepak je dan kata nak makan pizza saja.  Senang le kerja maknya.  Hehe.

Hari ini mungkin nak buat biskut hati pula.  Rasa teringin pula nak makan.  Setelah selesai buat nanti, saya akan kongsikan resipinya ya.

Wednesday, May 19, 2010

PENGAWAL ISTANA MENEMUI AJAL

Inna Lillah Hi Wa Inna Ilai Hirajiun.  Pengawal Istana Kelantan yang ditembak kritikal oleh orang yand tidak dikenali hampir tiga minggu lalu telah menemui ajalnya pada awal pagi tadi.  Beliau berada di dalam keadaan kritikal sejak sehari sebelumnya kerana organ utamanya dijangkiti kuman.

Allahyarham Ramli Mohamad, 50, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II tanpa sedarkan diri kembali.  Beliau meninggalkan seoraang balu dan lima orang anak.

Allah Maha Mengetahui serta Maha Adil.  Sesiapa juga yang telah melakukan perbuatan kejam dan terkutuk ini sudah pasti akan mendapat balasan dari Allah SWT.  Dengan segala kutukan dan sumpahan dari anggota masyarakat yang perihatin, hidup penjenayah ini juga tidak akan berkat.

Semalam Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra menghulur sumbangan RM100,000 kepada Ramli dan keluarganya.  Sumbangan itu adalah sebagai bantuan untuk mengurangkan beban keluarga pengawal istana itu.

Petikan beritan dari Bernama berkata selepas kejadian tembakan itu, Pemangku Raja, DYMM Tengku Muhammad Faris Petra telah menitahkan supaya kawalan keselamatan ke atas Sultan Kelantan, DYMM Tuanku Ismail Petra ditingkatkan.  Sama-samalah kita berdoa kepada kebaikan.

Monday, May 17, 2010

SELAMAT HARI GURU

Semalam terlalu padat program bersama keluarga.  Anak-anak saja yang monopoli komputer PC dan laptop sampai ke tengah malam.  Di waktu yang sama ada pulak saudara datang.

Bila dah lewat sangat saya pun dah tak ada mood nak tulis lagi.  Jadi posfon ke hari ini.  Harap tak ada yang berkecil hati pula.

SELAMAT HARI GURU
KEPADA SEMUA WARGA GURU.

Semua budi baik dan jasa bakti para guru-guru tetap dikenang dan dihargai.  Guru-guru adalah seperti ibu bapa kedua semua anak bangsa.

Saturday, May 15, 2010

BISKUT RANGUP BIJAN

Petang semalam rasa teringin pula nak makan biskut bijan.  Alang-alang saya dah buat, saya berkongsilah di sini.

Biskut Rangup Bijan

Bahan-bahannya:
  1. 1 cawan tepung jagung
  2. 1/2 cawan tepung ubi
  3. 1 cawan mentega
  4. 3/4 tin susu pekat
  5. 2 biji telur putih
  6. 1/2 cawan bijan - goreng tanpa minyak hingga kekuningan
  7. 1 sudu teh esen vanila
  8. 1/2 teh baking powder
  9. secubit garam
Cara-caranya:
  1. Ayak tepung jagung, tepung ubi dan baking powder dua kali.
  2. Pukul mentega dan susu pekat hingga kembang.
  3. Masukkan esen vanilla ke dalam adunan mentega.  Kacau rata.
  4. Masukkan bijan dan secubit garam.  Gaul rata.
  5. Pukulkan telur putih hingga kembang & ringan.
  6. Masukkan telur ke dalam adunan mentega.  Kacau rata.
  7. Buat lubang di tengah tepung.  Masukkan adunan mentega di tengah lubang.
  8. Perlahan-lahan bawakan tepung ke tengah.  Pusingkan di sekeliling bekas hingga menjadi doh.
  9. Canai dan terap dengan acuan kesukaan.
  10. Bakar selama 15 - 20 minit hingga masak.
Rasanya seperti kueh bangkit dan rangup.  Silakanlah mencuba ya.

Monday, May 10, 2010

KAMERAKU KO

Itulah bila kita ikut hati dan gopoh.  Saya teruja sangat nak mempertingkatkan kemahiran fotografi.  Jadi saya baca manual dan ikut arahan dengan patuh.

Selepas saya cubalah eksperimen pula.  Mula-mula tu dengan dalam rumah.  Lepas tu keluar ke laman.  Gambar pincuk dalam N3 sebelum ini pun saya gunakan kamera ini.

Pada pagi Sabtu tu, saya bawa pergi ke pasar juga.  Kononnya nak ambil pelbagai jenis sayuran-sayuran kampung dan bila diaplikasi semasa buat masakan resipi berkenaan.  Disinilah rupanya tiba ajal kamera baruku itu.

Seorang pengunjung India melanggar saya dan menyebabkan kamera terpelanting jatuh.  Aduh, berderai  rasa hati saya.  Tetapi kamera itu pada zahirnya nampak macam tak terjejas.  Walaubagaimanapun tidak dapat dioperasi lagi.

Masa di rumah, suami dan anak tolong tengok juga tapi memang tak boleh buka shutter tu.  Suami pun mula mengomel.  Apa nak dikatakan, saya diam sajalah, sebab sedar memang salah saya.

Hari ini saya dan suami bawa balik ke kedai yang dibeli.  Mereka sahkan kamera tu dah KO.  Warenti tak meliputi kecuaian.  Nasib!

Thursday, May 6, 2010

SEDAPNYA PINCUK!

Malam tadi saya buat juga pincuk yang saya terlalu amat kempunan nak makan tu.  Sedapnya tak terkata!  Seluruh ahli keluarga pun amat suka.

Ternyata resipi yang diberikan oleh DDr Fauziah @ Kak G tepat sekali.  Tetapi saya terlajak pula membuat asam tu sedikit cair.  Walaupun begitu saya rasa dah cukup sedap.  Lihatlah pincuk mangga yang saya buat malam tadi tu.

PINCUK MANGGA

Jika anda ingin nak merasa kenikmatannya, kenalah buat sendiri.  Resipinya adalah hak mutlak Kak G.  Layarilah blognya untuk mendapatkan resipi ini.

Terima kasih yang tak terhingga Kak G, terima kasih daun keladi.  Hehe.

Monday, May 3, 2010

KEMPUNAN PULAK!

Tetiba saja teringin pula nak makan pincuk.  Tetapi tak tahu pula nak buat.  Macam mana ya?  Rasa nak makan sangat, dah sampai ke tahap kempunan.

Jadi saya buatlah saja N3 ni .. kut2 ada sesiapa yang baca tu tahu resipi dan cara membuatnya, harap dapat kongsikan.

Tak tahulah makanan ini ada nama lain ke tidak.  Saya tanya kawan-kawan di sini mereka tak tahu.  Mungkin juga makanan orang utara saja.

Makanan ini adalah ala-ala kerabu yang dicampur cili.  Biasanya ia dimakan bersama sessi makan buah-buahan asam yang dicicah garam belacan.  Sesiapa yang baca N3 ini dan tahu, tolonglah bagitahu ya.  Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.

Saturday, May 1, 2010

HARI TAK ADA BEG PLASTIK

Anak-anak dan suami asyik komplen saja dari tadi.  Rupanya mereka merungut pasal hari ini hari yang semua orang kena bawa 'green bags' sendiri sebagai langkah mencegah penggunaan beg plastik yang berleluasa.

Selangor ini pula mengambil langkah untuk menurunkan penggunaan beg plastik pada setiap hari Sabtu.  Kata anak-anak, 'buatlah arahan tu untuk hari lain,' kerana di hari Sabtu ramai  orang suka pergi membeli-belah.  Saya pula kata, 'sebab itulah arahan itu dibuat pada hari Sabtu.'

Walaubagaimana pun semua dah bersetuju nak pergi membeli-belah juga sebab hari ini ada banyak tawaran turun harga atau hadiah-hadiah sampingan.  Saya pun komenlah, 'merungut pun tak guna kan!'