Monday, August 8, 2011

SELAMAT BERIBADAH DI BULAN RAMADHAN

Baru hari inilah dapat ke Maya di bulan Ramadhan Al Mubarak tahun ini.  Sudah masuk minggu kedua pun.
 

Syukur alhamdulillah kita dipanjangkan usia untuk dapat bersama untuk melakukan ibadah di bulan yang mulia dan penuh barakah ini.  Mudah-mudahan kita dapat menjalani Ramadhan sepenuhnya dengan baik.

SELAMAT BERIBADAH

Semoga kita semua diberkati sepenuhnya. Amin.

Saturday, July 30, 2011

HARI MASIH SURAM

Doktor tidak dapat mengesan apa penyakit setakad ini.  Tapi saya masih juga rasa kurang sihat.  Badan sentiasa rasa panas.  Kekadang tu rasa meremang pula.  Tenaga pun menurun.

Minggu ini kita berusaha secara pengubatan tradisional pula.  Katanya ada terkena lintasan.  Maksudnya buatan dituju kepada orang lain, tetapi tertempias kepada diri saya.

Nasib baik juga katanya orang yang mengupah perbuatan ini sekadar ingin memberi pengajaran kepada sasarannya tu kerana keangkuhan pihak berkenaan.  Kesannya akan semakin menurun dan pupus di dalam satu jangka waktu saja.

Walaupun begitu, had waktu tu tidak dapat disahkan.  Dugaan yang tak pernah terfikir pun.  Tapi inilah kenyataannya.

Sunday, July 3, 2011

SEBULAN TAK MASUK MAYA

Sudah sebulan tak masuk Maya ini.  Rasa lamanya!  Tapi nak buat macam mana kerana banyak perkara adalah diluar kawalan kita.

Masuk saja bulan Jun, demam datang.  Bila campur dengan batuk dan bisa-bisa badan, memang tak selesa.

Begitulah keadaannya bila badan terus tak sihat.  Memang tak bermaya rasanya.  Mood pun hilang!

Hari ini rasa bersemangat  sedikit.  Alhamdulillah, selepas berubat ke klinik dan juga ke pakar ulama, badan semakin sihat.

Sunday, May 29, 2011

MAKAN MAGGA PERLIS

Sudah lama juga tak update blog.  Rasa macam sekejap, tapi sudah berminggu rupanya.  Begitu pantas masa berjalan.

Memang ada macam cerita.  Tapi selalu tak tercerita pulak.

Alang-alang ada mangga harum manis yang dibawa oleh saudara sepupu dari Perlis, saya hidangkan saja la.  Buahnya tak besar sangat, dan rasanya sedang-sedang saja, tidak terlalu manis.

Saturday, May 7, 2011

TAUHU MASAK JAWA

Sebenarnya tak berapa pandai.  Ni kira main-main tiru-tiru.  Oleh kerana teringin sangat nak makan, saya buat juga sambal tauhu ala-ala masak jawa.


Walaupun sudah ada lauk-pauk, untuk makan malam ni saya tambahkan lauk ni.  Kira sayur pun boleh la.

Thursday, April 28, 2011

KEK LAPIS SARAWAK

Sebenarnya bukan nak berkongsi macam mana nak buat kek lapis Sarawak.  Tak pandai sangat pun.  Boleh la buat, tapi letih juga kalau membuatnya.

Anak-anak pun tak berapa suka sangat.  Kata mereka kalau yang warna-warni tu tak mahu makan sebab takut akan menjejaskan kesihatan.  Ya la, banyak sangat warna, bahan kimia boleh menyebabkan pelbagai penyakit.

Sebenarnya nak cerita tentang bagaimana penjual semakin kreatif dan berusaha menyaingi antara mreka.  Petang tadi, semasa sessi mengaji, salah seorang pelajar yang memang sentiasa kempen supaya kami semua membeli telah membawa dua bekas kek yang diisi dengan potongan beberapa jenis kek lapis Sarawak.

POTONGAN KEK LAPIS SARAWAK

Penjualnya bukan menjamu, tapi berjualan dengan setiap potong berharga 80 sen.  Jadi takkan pula boleh katakan kami tidak membawa cukup duit.  Kiranya kami semua terperangkap untuk membeli jugalah.  Hujungnya semua membeli dua tiga potong beberapa perasa dan jenis itu.

Wednesday, April 20, 2011

BANYAK URUSAN PERIBADI

Kebelakangan ini saya sibuk pula dengan urusan-urusan peribadi.  Terabai lagi blog ni!  Macam la rajin sangat berkemas di sini!  Hehe.

Sekarang ni tengah ada masa dan mood.  Jadi kemas-kini sajalah.

Cerita pasal cucur udang dan goreng tahu yang menjadi hidangan petang tadi saja la.  Dah lama anak-anak bersungut tak makan cucur udang buatan Mama.

Oleh kerana permintaan anak-anak, petang ni buat jugalah.  Lihatlah hidangannya dibawah.  Oleh kerana kesuntukan masa, makannya bersama sos kacang segera saja.

Tuesday, April 5, 2011

BERITA TAK BOLEH TERUS PERCAYA

Sekarang ni terlalu banyak perkara berlaku yang membuat kita rasa kacau dan sedih.  Macam-macam berita dan cerita yang ada.

Apa yang menyedihkan ialah semakin sehari semakin banyak usaha untuk memecah-belahkan kita.  Kenapa terjadi seperti ini?

Naik sedih dan bengang dengan berita dan cerita yang disibarkan.  Mengapa orang Islam tidak ikut perintah dan hukum Tuhan?

Untuk kita semua, seeloknya jangan terus percaya sebarang berita dan cerita.  Takut nanti terpalit sebagai subahat pulak.

Saturday, March 26, 2011

HADIAH ULANG TAHUN PERKAHWINAN

Sebenarnya hari ulang tahun perkahwinan ialah tiga hari lepas.  Cik hubby belikan hadiah sempena hari itu untuk buat kegunaan.  Kira-kira hadiah relevan la!


Inilah hadiahnya.  Kembang kencup jugalah kerana rasa diri dihargai.  Microwave tiga dalam satu mempunyai fungsi yang akan membantu dalam kerja dapur.

Setakad ini baru belajar untuk memanas makanan saja.  Memang tak sabar nak menggunakan sepenuhnya.  Tapi kena baca dan faham semua arahan tentang cara-cara menggunakannya dulu la.  Takut pula nanti kalau tersalah guna akan cepat rosak.

Maklumlah, harganya boleh tahan juga.  Kalau belum apa-apa dah mula rosak, tentu kecil hati orang yang menghadiahkannya tu!   Hehe.

Saturday, March 12, 2011

SELAMAT BERCUTI

Hari ini cuti penggal sekolah sudah pun bermula.  Biasalah, memang banyak undangan kenduri kawin untuk jauh dan dekat.

Belum apa-apa, sudah ada keluarga datang ke rumah untuk bercuti dan juga makan kenduri.  Ada tiga keluarga semuanya.

Anak-anak hari ini dah mula muncung muka kerana ramai sangat tetamu di rumah.  Tadi dah nasihatkan mereka tak baik berbuat demikian - kita mesti menghormati tetamu.

Sementelah cuti sekolah ni, nak ucapakan selamat.  Mudah-mudahan terus sihat dan ceria.
SELAMAT
BERCUTI REHAT

Nantilah baru sambung cerita lain.  Sekarang nak siapkan makan malam dulu.

Friday, March 4, 2011

SERUNDING AYAM

Letih rasanya sebab lama sangat memasak serunding hari ni. Sejak dari selepas Subuh tadi lagi mula membuatnya.  Tiga jam lebih barulah masak cantik seperti di bawah.


Esok kita orang sekeluarga akan pergi berkelah ke Port Dickson bersama keluarga kakak.  Saya berjanji akan membuat rendang dan serunding ayam serta membawa nasi serta roti.  Kakak pula akan membawa lauk pauk lain serta minuman.

Anak-anak sudah tak sabar nak ke sana.  Mereka teruja sebab kakak sudah tempah 'homestay' untuk semua.  Jadi nanti memang boleh beriadah sakan!

Thursday, February 24, 2011

AYAM PANDAN

Malam tadi kami sekeluarga pergi makan  malam di rumah Kakak (sepupu aka kakak sendiri).  Hati nak sangat jengah tengok ibu kakak yang juga ibu saudara yang telah membela saya sejak kecil lagi.

Sempat juga belajar buat ayam goreng pandan dari kakak.  Sedap juga rasanya.  Alang-alang, kongsi sajalah sajiannya di sini.

Ayam Goreng Daun Pandan

Sebelum sempat ambil gambar, tinggal hanya tiga ketul saja.  Nak buat macam mana, cepat lagi tangan yang mencapai untuk makan ayam tu!

Tuesday, February 15, 2011

SEMPENA MAULIDUR RASUL

Hari ini adalah Maulidur Rasul atau hari kelahiran Rasulullah SAW.  Jika kita kasihkan baginda, kita harus melakukan sesuatu yang membuktikan tanda kasih kita itu.

Sebagai makhluk Allah, kita wajip menjunjung kasih terhadap Rasul Allah, Nabi Muhammad SAW.  Kita tiada pilihan untuk ketaatan ini jika kita beriman.

Sempena mengingati hari keputeraan Baginda hari ini, tentu amat baik jika kita melakukan ibadah yang akan sentiasa lebih mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dan Baginda Rasulullah SAW.  Umpamanya mungkin kita boleh memberi sedekah kepada anak-anak yatim.

Tuesday, February 8, 2011

RASA SUNYI PULAK

Seminggu lebih riuh rendah dengan suara anak-anak dan suami serta saudara yang datang ke rumah sempena cuti panjang.  Bila Cina raya, Melayu pun turut beraya juga!  Hehe.

Semalam tak rasa lagi sunyi sebab si Abah dan anak sulung dua-dua ambil cuti tambahan sendiri gara-gara nak tengok NFL Super Bowl ke 45 tu.  Riuh dua beranak tu.

Hari ini baru sunyi.  Semacam pula rasanya.  Untuk menghilangkan rasa sunyi ni, radio dan TV di kuatkan suara dua kali ganda.

Tiba-tiba jiran sebelah telefon bertanya samaada berlaku apa-apa.  Segan nak beri tahu sebab sebenarnya.  Jadi mohon maaf sajalah.

Thursday, February 3, 2011

DAGING KICAP BEREMPAH

Bila dah semua cuti dan duduk di rumah, semua kira nak makan saja.  Tak terlayan jawapnya.  Jadi mulai tahun ni, semua berjanji, siapa nak makan yang berbeza dan susah-susah, sendiri kena buat.

Tapi hari ini saya masak daging kicap berempah ala lauk nasi kandar bersama dengan nasi beriani serta dalca dengan menggunakan resipi rakan blogger, Kak G.  Mohon izin ya Kak G.  Panjangkan ilmu ni!  Hehe.

Daging Kicap Berempah Ala Lauk Nasi Kandar

Semua memang sangat suka.  Tak cukup untuk makan sampai malam sebab semua makan bertambah.

Saturday, January 29, 2011

ROMPAKAN DAN PECAH RUMAH.

Akhir-akhir ni sering berlaku kejadian kecurian, rompakan dan pecah rumah di kawasan perumahan kami.  Ada kumpulan India dan ada kumpulan Indonesia.  Katanya siap bawa parang.  Seram dan takut rasanya nak ke mana-mana.

Polis pula kata pasal ini dekat raya Cina.  Mereka sahkan di mana-mana pun serupa: kadar kejadian jenayah ini memang meningkat semasa musim raya Cina.

Ramai orang geleng-geleng kepala.  Macam itu saja jawapan mereka.  Buat apa tambahkan anggota polis dan naikan gaji serta elaun mereka.  Perilaku mereka sama saja!

Sunday, January 23, 2011

SARAPAN DISEDIAKAN ANAK

Pagi-pagi lagi anak sudah masuk dapur.  Lapar awal pulak dia hari ni.  Berbau harum datang dari dapur.  Tapi saya belum turun lagi.

Tahu-tahu anak sulung telah menyediakan burger seorang satu.  Oleh kerana roti burger tak ada, dia hentam pakai roti sandwich saja.

Beginilah rupanya.  Di dalamnya tu dia taruh daging burger, telur, timun dan tomato serta sos tartar dan cili.


Jadi pagi ni tak payah ke dapur lagilah.  Untung juga bila anak-anak dah besar.  Bila lapar mereka dah pandai pergi sediakan makanan sendiri.  Pagi ni, siap buat untuk semua pulak.  Alhamdulillah.

Monday, January 17, 2011

MAKANAN RANGGI

Petang semalam saya sekeluarga pergi ke rumah kakak saudara sepupu untuk makan petang.  Aduh teruja saya dengan segala hidangan yang ada.  Memang best - nampak cantik & rasanya amat sedap.  Malangnya terlupa pula nak bawa kamera.

Di antara banyak-banyak makanan yang disediakan, saya paling suka ikan mentah yang diadun dengan perisa limau dan beberapa herba dan disajikan di atas telur perasa nenas.

Puas saya mencari gambar dalam IT ni.  Gambar bawah adalah paling hampir menepati hidangan yang saya maksudkan.


Kakak sepupu saya kata senang saja membuatnya.  Ambil isi ikan, bersihkan dan potong dadu.  Kemudian campurkan dengan sedikit jus limau, daun limau purut dan oregano yang dicincang halus, lada sulah dan garam.  Telurnya pula dipukul dan dicampurkan sedikit jus nenas dan garam.

Walaupun sepertinya mudah, tapi makanan ini merupakan makanan ranggi.  Jelas ada kelas!

Sunday, January 9, 2011

KENANGAN SILAM

Tetiba saja teringat Abah yang telah lama meninggalkan kami adik-beradik dan sana-saudara sekelian.  Mungkinlah ini kerana kematian saudara yang seiras wajah Abah baru-baru ini.

Semasa menonton rancangan 'serasi bersama' di channel Astro tadi, semakin teringat lagi kepada Abah.  Saya melihat kemesraan dan watak penyayang yang ditunjukkan oleh pasangan yang mengambil bahagian itu iaitu Mustapha Kamal - Susan Menon, Azman Adnan - Az Feminine serta Bagio & isterinya.  Bagi saya pasangan-pasangan ini lebih terserlah kasih sayang di antara mereka.

Arwah Abah memang seorang suami dan bapa yang penyayang.  Kita memang terasa diri disayangi dan dihargai.  Apa-apa yang baik kita lakukan, Abah sentiasa memuji dan menyokong.  Sebaliknya jika tidak baik dan salah, Abah nasihat dengan baik.

Segalanya seperti mengiyakan kata-kata hikmat bahawa 'orang baik mati awal kerana lebih disayangi Tuhan.'

Sunday, January 2, 2011

TAHUN BARU 2011

Ramai orang bercerita pasal sambutan tahun baru.  Saya pula sibuk menyiapkan bekalan anak nak balik ke asrama.  Sudah masuk dua hari.  Tapi belum terlambat rasanya untuk mengucap selamat.

SELAMAT
TAHUN BARU 2011

Semalam saya buat kerepek pedas ubi kayu untuk anak dan juga untuk makan petang.  Bila dah buat banyak tu ada la yang terlebih garing.  :)  Sudi-sudikanlah.