Sunday, April 25, 2010

IKUT TERKENA VIRUS PILIHANRAYA

Saya anak beranak sekarang sedang berada di rumah kenalan di kawasan Parlimen Hulu Selangor.  Suami saya yang beriya-iya sangat nak melihat suasana kemuncak dalam pilihanraya di sini.  Jadi, semalam kita orang menerima pelawaan kawan untuk datang ke rumah mereka.

Malam tadi kita orang ikut juga pergi menghadiri perhimpunan di Stadium Kuala Kubu Baru.  Sebelum Magrhrib lagi dah bertolak.  Kata kawan, jika lepas Maghrib, takut sesak sangat dan tak dapat masuk.  Jadi semua berjemaah ramai-ramai di sana saja.


Memang ramai betul orang yang hadir.  Kiranya penuhlah seluruh stadium tu.  Banyak pemimpin parti yang turut hadir.  Seronok jugalah mendengar segala hujjah dan perdebatan itu.

Hari ini orang sini sudah keluar mengundi.  Awal-awal tadi kawan kita orang ni sekeluarga sudah keluar untuk mengundi.  Saya sekeluarga pula mengambil alih tugas untuk menyediakan sarapan, makan tengahari dan 'apa-apa yang patut' kata tuan rumah.  Hehe.

Abis membantu pembantu rumah memasak untuk makan tengahari dan juga membuat kueh untuk petang, saya duduk berehat la sementara menunggu tuan rumah pulang, dan juga kedatangan keluarga saudara saya yang juga mahu datang.

Nasib baik makan sarapan yang berat tadi.  Jadi kenyang juga lagi.  Alang-alang mengadap komputer, ehsan tuan rumah juga .. seronok kan jadi tetamu?!

Thursday, April 22, 2010

BILA MARAH MEMUNCAK!

Malam semalam seorang tokey ayam mati terbakar angkara pekerja sendiri yang sudah terlalu marah ke tahap maksima.  Habis kecuh kawasan Changlun yang berkenaan.

Kebetulan saudara saya di Alor Setar menelefon awal pagi tadi dan menceritakan sedikit sebanyak tentang kejadian ini.  Saya pun ada membacanya di akhbar tempatan juga sekejap tadi.

Itulah yang selalu dikatakan.  Sesabar-sabar manusia, jika perasaan dan hatinya sentiasa digugat dan dicabar, kemarahannya akan semakin memuncak.  Akhirnya, apa-apa kemungkinan pun boleh berlaku bila kemarahan itu tidak dapat dibendung lagi.

Mengikut cerita, penternak ayam berkenaan telah dibunuh, dan dibakar hingga rentung oleh pekerjanya sendiri.  Pekerja berkenaan dipercayai berang kerana tidak dibayar gaji sejak beberapa bulan lalu.

Saturday, April 17, 2010

SURIRUMAH TERTIPU DI INTERNET

Hari ini saya tergamam juga membaca berita tentang seorang suri rumah yang kerugian RM 228,000 gara-gara tertipu dengan tarikan pelaburan yang menjanjikan pulangan RM168 juta.  Rupanya suri rumah yang masih begitu muda sudah mempunyai simpanan sebanyak itu.  Namun masih mendambakan status kekayaan sebagai seorang jutawan dengan cara yang mudah.

Hairan pun ada.  Bagaimana dia boleh termakan janji yang dilakukan di angin lalu saja iaitu melalui internet ini.  Seghairah mana sekalipun, seseorang mesti bersifat rasional kerana pelaburan itu melibatkan satu jumlah yang banyak.

Tak mungkinlah orang yang berjaya menariknya melaburkan wang sebegitu banyak itu menggunakan ilmu hitam atau ubat guna-guna.  Tak pernah dengar lagi kuasa ilmu hitam boleh merentas Maya.  Keadaan begitu tidak logik langsung.

Apa yang nyata, wanita ini benar-benar berjaya ditipu.  Walaupun dia seorang mempunyai kelulusan akademik yang agak baik, ternyata dia masih mudah terpedaya.  Sekalipun tidak pernah bertemu, dan tidak ada sebarang perjanjian secara bertulis, tanpa berfikir panjang dia terus bersetuju untuk melaburkan wang yang sebegitu banyak.

Sunday, April 11, 2010

AF 8 TAK MENYENGAT

Akademi Fantasia 8 (AF 8) ini rasa macam hambar dan tidak ada ummmph.  Awal promosi dulu katanya penuntutnya lebih berkualiti.  Ini sudah berapa minggu, tak nampak pun kualiti yang lebih baik tu.

Adakan ukuran kualiti yang diguna pakai oleh pemilih tidak sama dengan penonton dan pengundi?  Mungkinkah juga juri diperingkat pemilihan dan saringan awal tu membuat pengadilan yang salah?

Pendek kata bermacam-macam soalan jugalah yang ada berligar di kepala penonton seperti saya.  Yang nampak ceria dan menghiburkan ialah sessi diari yang dikendalikan oleh Jimmy Shanley tu.  Pengacaraan oleh Sarimah dan Jimmy pun nampak tidak begitu lancar.  Sepertinya Sarimah hilang sengat dan semangat.

Saya setuju dengan pemerhatian wartawan akhbar tempatan yang membuat liputan tentang AF 8 ini.  Penuntutnya ditonjolkan sebagai penuntut yang lembek.  Ini membuatkan AF 8 semakin tidak menyengat!

Tuesday, April 6, 2010

BISKUT BADAM COKLAT KEJU

Semalam lagi nak buat N3 ni.  Tapi tak berkesempatan pula kerana sibuk sangat dengan urusan anak-anak pula.

Saya nak kongsi resipi buat biskut kesukaan keluarga.  Sudikanlah mencuba.  Anak-anak amat suka kerana rasa coklat dan badam serta kejunya.

Biskut Badam Coklat Keju

Bahan-bahannya:
  • 100 gm mentega
  •   75 gm gula halus
  • 150 gm tepung gandum
  •   50 gm badam hancur
  •   30 gm emping jagung hancur
  •     1 keping kecil coklat susu (= 20-30 gm)
  •     1 kuning telur
  •     1 putih telur
  • secukup kepingan badam
  • krim keju secukupnya
Cara-caranya:
  • Pukul gula dengan mentega hingga kembang.
  • Masukkan kuning telur dan gaul sebati.
  • Larutkan kepingan coklat dengan sedikit air panas
  • Masukkan semua bahan-bahan lain ke dalam adunan.  Gaul sebati.
  • Canai sederhana nipis.
  • Pukul telur putih supaya kembang sedikit.
  • Sapukan telur di atas biskut.  Atur kepingan badam di atasnya pula.
  • Potong memanjang atau menyerung untuk membentuk biskut.
  • Atur kepingan di dalam bekas pembaka.  Picitkan krim keju di atasnya.
  • Bakar hingga masak.
N.B.:   Untuk adunan krim, sila lihat resipi biskut pistachio yang dipapar dahulu.

Friday, April 2, 2010

UCAPAN TAKZIAH

Al Fatihah. Saya juga ingin turut merakamkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga Allahyarham Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau lebih dikenali sebagai Din Beramboi. Semoga Allahyarham diberkati dengan mendapat pengampunan di atas segala dosa-dosanya dan rohnya dicucuri rahmat yang terbaik.

Sesungguhnya kita semua adalah hak Allah SWT dan dunia ini hanyalah tempat persinggahan saja. Semoga kita sentiasa diberkati untuk melakukan segala yang terbaik juga, amin.

Thursday, April 1, 2010

KURANG MENGERTI


Saya tidak mengerti mengenai berita yang menyatakan bahawa 39 orang didakwa berkhalwat dalam bilik.  Bingung juga dibuatnya.  Rasanya bukan saya seorang saja, tetapi ramai lagi orang yang tidak mengerti.  Apapun saya turunkan petikan berita yang berkenaan:
2010/04/01 SHAH ALAM: Tiga puluh sembilan individu termasuk tujuh wanita dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, atas tuduhan berkhalwat dalam sebuah bilik di Intekma Resort & Convention Centre pada November tahun lalu.

Bagaimanapun, pada prosiding yang dijalankan di dua mahkamah rendah berasingan, hanya 29 orang termasuk tiga wanita hadir untuk mendengar pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.

Semua mereka yang terdiri pelajar berusia 17 hingga 30 tahun dituduh melakukan perbuatan tidak bermoral sehingga menimbulkan syak dalam sebuah bilik di blok empat hotel berkenaan di Persiaran Raja Muda, Seksyen 7 di sini, pada jam 2.10 pagi, 15 November 2009.

Tertuduh didakwa bersama orang bukan mahram sehingga boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan melakukan perbuatan tidak bermoral.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor untuk lelaki dan Seksyen 29(1)(b) bagi wanita yang jika sabit kesalahan membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Setahu saya maksud berkhalwat ialah bersendirian atau bersunyian dengan orang bukan mahram di tempat yang menimbulkan syak.  Jika sudah orangnya seramai itu, bagaimana pula dikatakan berkhalwat.  Ya, mungkin mereka melakukan perbuatan yang tidak bermoral dan melanggar batasan agama.  Sekiranya demikian, jadi kesalahannya bukanlah khalwat.