Wednesday, October 27, 2010

HILANG BARANG HILANG ORANG

Adalah diberitakan bahawa ramai jemaah haji kita kehilangan beg sandang mereka semasa mengerjakan ibadah di tanah suci Mekah mahupun semasa berada di Madinah.  Begitu juga ramai yang kehilangan lencana dan gelang tangan yang mempunyai pengenalan diri jemaah.

Dari dulu hingga kini dan mungkin selamanya juga perkara seperti akan terus berlaku.  Antara sebab utama ialah kelalaian para jemaah sendiri.  Saya lihat sendiri terlalu ramai yang begitu alpa dengan barang mereka.

Malah ramai juga hilang diri mereka sendiri.  Ada jemaah yang benar-benar sesat dan tidak tahu jalan pulang ke tempat penginapan mereka.

Semasa saya dirahmati untuk mengerjakan ibadah haji dulu, saya pernah berjumpa dengan jemaah kita yang sesat di dalam Masjidil Haram sendiri.  Mereka tidak berjumpa jalan keluar.

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui segalanya.

Friday, October 15, 2010

BERPESTA, MENYANYI & MENARI

Bersempena hari Jumaat yang mulia ini, saya ingin turut bertazkirah juga.  Tujuannya supaya kita sama-sama dapat saling mengingatkan untuk membentuk iman selaras suruahan Tuhan.  Topiknya lebih kepada apa yang harus diperbetulkan dahulu jika mahu memperbetulkan keadaan.

Sejak lebih seminggu, riuh juga bunyi orang yang menentang kehadiran Adam Lambert, naib juara American Idol musim lalu, bersama kumpulan persembahannya.  Namun pertunjukan itu tetap berlansung.

Persoalannya, pekakah mereka yang memegang kuasa tentang isu yang dilaungkan oleh mereka yang menentang.  Layakkah mereka yang berkuasa itu menilai nilai konsert seperti yang dilakukan oleh Adam Lambert itu.

Yang jelas nilai pegangan manusia memang berbeza.  Bukan mengikut agama yang tercatat di dalam kad pengenalan diri mereka, tetapi nilai yang diterapkan dalam pembesaran dan pembentukan hati nurani mereka.

Kalau seseorang itu diberi nama apa sekali pun dan disah lahir dalam agama apa sekalipun, itu tidak akan banyak mempengaruhi cara hidupnya dan kepercayaannya.  Sebenarnya cara dia dididik dan dibesarkan itu  yang membentuk seseorang itu seperti keadaan dirinya.

Jadi jika seseorang itu namanya secantik Ahmad Insani sekalipun ia tidak menjaminkan apa-apa.  Dia tetap akan terbentuk menjadi ala acuan yang membentuk dirinya. 

Sekiranya persekitaran seseorang itu sentiasa jauh dari suasana Islam, di mana akan datang Nur Islamnya.  Jika malah setiap hari minuman keras menjadi amalan; dan berpesta, menyanyi serta menari menjadi budaya; insan tadi hampir pasti akan menjadi seorang yang tidak mesra Islam.

Saya teringat cerita blogger anak Pahang tentang Menterinya membawa acara joget lambak sempena menyambut puasa, dan ada acara menyanyi serta menari di majlis sambutan Aidilfitri.  Acara menyanyi dan menari turut melibatkan secara langsung Menteri dan anaknya yang berstatus artis di pesta itu.

Apa relevannya acara seperti itu untuk masyarakat di sana.  Semua acara ini bukan menjana pembangunan insaniah dan mengukuhkan Islamiah untuk orang-orang di dalam kawasan Parlimen Bera.

Bila perkara seperti itu berlaku, rakyat harus bertanya pada diri mereka sendiri dahulu siapa yang memilih pemimpin seperti itu?  Jangan melompat mencari salah orang lain.

Di SANA Allah SWT menilai setiap manusia atas imannya dan atas apa peranannya di dalam suasana yang melibatkan dirinya?  Semoga kita sentiasa mendapat rahmat pertunjukNYA.  Amin.

Sunday, October 10, 2010

'HADIAH 101010'

Hari ini anak saya menghadiahkan notebooknya kepada saya.  Bukan yang baru tapi notebook yang selama ini dipakainya.

Katanya, "buat teman Mama sebelum dapat beli laptop baru."

Mula tu sedih juga.  Anak mendapat laptop baru.  Tetapi itu adalah milik syarikat tempat dia bekerja.  Selagi kerja di situ, dapatlah kemudahan itu.

Si adik pula kata jika saya tidak mahu, dia mahu.  Abahnya pula menyampuk, "Hadiah 101010."  Semua anak beranak ketawa.  Saya saja terpinga-pinga.

Rupanya maksudnya tu, memadai la sekadar nak 'on off, on off, on off' seperti maksud bahasa binary komputer.  Saya pun ikut sama ketawa.